Sunday, August 3, 2014

PERKONGSIAN RUMAHTANGGA BAHAGIA





Kalau diibaratkan sebuah perniagaan, maka cinta suci merupakan modal asas paling utama dalam membina keluarga bahagia. Selagi cinta itu masih suci murni, selama itu nikmat berbulan madu terus dapat dikecapi sepanjang berumah tangga. Lebih-lebih lagi andainya dapat dilengkapi dengan rencah-rencah tambahan berikut :

1. Puas Hati.
Terimalah pasangan anda dengan redha dan puas hati. Bersangka baiklah terhadap Allah S. W. T Maha Suci yang telah menentukan jodoh kita. Jangan diungkit-ungkit kekurangan pasangan anda. Yakinlah bahawa tiap sesuatu itu sudah ditentukan oleh Allah dan mempunyai pelbagai hikmah yang kadang-kadang kita tidak faham.
Rasulullah S. A. W. bersabda maksudnya: “Janganlah seorang lelaki mukmin membenci isterinya yang beriman. Bila ada perangai yang tidak disukai, dia pasti redha ( menyenangi) perangainya yang lain (kebaikan)”.
Kita sebagai hamba tidak berhak memprotes ketentuan Allah S. W. T. Apa sahaja yang datang kepada kita semuanya ada kebaikan di sisi Allah walaupun kelihatan negatif pada pandangan manusia. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita menangani sesuatu itu dan dapat pula dijadikan ibadah atau saluran medapat keampunan daripadaNya.

2. Kenang Jasa, Lupakan Kejahatan.
Sejarah yang agak popular ialah apabila ada seorang lelaki ingin menemui Khalifah Sayidina Umar al-Khattab r. a. Dia ingin mengadu tentang karenah isterinya. Sampai di halaman rumah dia terdengar suara rungutan isteri Khalifah Umar. Dia berhasrat membatalkan niat asalnya, namun terhenti apabila dia dipanggil oleh Umar.
“Ada apa urusan engkau hendak menemui aku?” tanya Saiyidina Umar.
Jawab lelaki itu, “aku bercadang hendak mengadu karenah isteri aku, tetapi aku terdengar tuan pun mengalami perkara yang sama, inikan pula aku rakyat biasa”.
Saiyidina Umar menjelaskan, “aku tetap bersabar dan berterima kasih kepadanya kerana dia banyak berbuat baik dan berjasa. Dia menjaga anak-anak aku memasak makanan untuk aku, membersihkan pakaian aku dan membuat urusan rumah bagi pihak aku”.
Manakala isteri pula perlu mengenang jasa dan kebaktian suami dalam pelbagai aspek – makan, minum, pakaian, tempat tinggal, perlindungan, didikan dan tunjuk ajar.

3. Perkongsian.
Selain harta benda, ada aspek perkongsian yang tidak boleh diabaikan agar kehidupan suami isteri sentiasa meriah dan mesra walaupun telah meningkat usia. Perkongsian ini perlu dikekalkan hingga akhir hayat.
a. Perkongsian fitrah.
Apa saja yang kita suka orang lain berbuat kepada kita, maka itu juga yang orang lain suka kita berbuat kepadanya. Oleh itu masing-masing mesti ada toleransi. Dengan sendirinya berlaku perkongsian. Maka kedua-dua pihak tidak terlalu menuntut hak masing-masing dan saling tuduh menuduh.
b. Perkongsian emosi.
Sayidina Umar Ibnu Khattab r. a. boleh saja mendakwa isterinya yang merungut itu tidak memahami perasaan suami. Dia juga boleh menuduh isterinya tidak wajar merungut kerana dirinya seorang khalifah yang memikul urusan umat. Dan dia juga boleh menuntut agar dirinya dilayani dan tidak perlu melayani karenah isterinya kerana dia seorang suami. Namun beliau memilih untuk menyebut kebaikan -kebaikan isterinya kerana dia sebenarnya berkongsi perasaan dengan isterinya. Beliau dapat merasakan keperitan dan kesusahan isteri. Tentulah tidak patut kegembiraan dikongsi, manakala penderitaan ditanggung sendirian.
Suami tidak patut menuntut agar isteri memahami perasaannya sahaja dan begitu juga sebaliknya. Rumah tangga tidak ubah seperti pelayaran kapal di lautan. Tidak selamanya lautan tenang atau tidak selamanya bergelora. Dalam satu kapal mana mungkin tidak mengalami tenang dan gelora bersama. Ketika suami pulang dengan bahang kemarahan maka isteri letakkan dirinya sebagai air yang dingin, demikian sebaliknya. Suami keletihan dan kelesuan kerana urusan di luar rumah.
Pada waktu yang sama isteri juga penat dengan urusan rumah dan anak-anak. Kalau demikian ertinya sama-sama keletihan atau sama-sama berkongsi kepenatan. Lantaran itulah Saiyidina Umar menunjukkan contoh betapa beliau memahami emosi isterinya. Suami sedia mendengar rintihan isteri dan berkongsi rasa.
c. Perkongsian jiwa.
Rasulullah S. A. W. masih mengenang dan menyebut nama Siti Khadijah walaupun isterinya sudah lama wafat. Di mana letaknya keistimewaan Siti Khadijah? Rasulullah S. A. W. mengalami beban jiwa yang berat setelah menerima wahyu yang pertama. Bukankah baginda adalah seorang rasul yang Allah S. W. T. bekalkan dengan jiwa yang kuat?
Namun beban wahyu itu lebih berat berbanding kemampuan jiwanya. Siti Khadijah r. ha telah memberi ‘input’ yang besar kepada jiwa baginda sehingga baginda pulih seperti sediakala. Siti Khadijah yang memberi peransang, suntikan semangat dan pertolongan. Dalam konteks kehidupan Rasulullah S. A. W. dan Siti Khadijah itu tentu ada proses timbal balik yang hebat antara keduanya. Tentulah tidak dinafikan peranan Rasulullah S. A. W. sebagi seorang suami dalam mendidik Siti Khadijah sebagai isteri. Namun ada saat-saat tertentu yang sumbangan isteri tidak dinafikan begitu sahaja terutana dalam pengisian jiwa.
Rasulullah S. a. W. bersabda, maksudnya: “Sesiapa berkahwin maka dia telah melindungi separuh agamanya. Oleh itu hendaklah dia bertakwa kepada Allah dalam memelihara yang separuh lagi.” (Riwayat al-Hakim.).
Sabda Rasulullah ini membuktikan bahawa perkongsian jiwa itu sebenarnya memelihara sebahagian daripada agama. Masing-masing sandar-menyandar, saling teguh-memperteguh, pendorong dan benteng kekuatan jiwa.


wahai para pasangan..
ingatlah...

sewaktu kau ingin meninggalkannya..ingatlah saat pertama kau memiliknya...
sewaktu kau ingin memarahinya...ingatlah saat pertama kau menerima kasihnya..
sewaktu kau ingin membencinya...ingatlah saat pertama kau menyintainya..
sewaktu kau ingin memukulnya..ingatlah saat pertama kau membelainya...
sewaktu kau melupakannya...ingatlah saat kau merinduinya...
sewaktu kau ingin berlalu pergi darinya..ingatlah saat kau berlari mengejarnya..
sewaktu kau ingin mengungkit salahnya..ingatlah saat tercipta memori indah tentangnya..
sewaktu kau hilang cinta kepadanya...ingatlah saat pertama dia menyintaimu...
sewaktu kau ingat yang negatif..ingatlah yang positif...
sewaktu kau ingat yang hitam..ingatlah yang putih...

sewaktu itu kau akan sedar.. betapa hebatnya kasih sayang yang Allah kurniakan.. betapa hebatnya Anugerah cinta yang Allah beri... cintailah pasanganmu kerana Allah..dan Allah akan memberimu cintaNya.. insyaAllah...


1 comment: